Thursday, December 13, 2018

🎯PENGERTIAN SOLAT BERJEMAAH

Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan oleh dua orang atau lebih secara bersama dengan diketuai oleh seorang imam dan disertai dengan niat berjemaah.

🎯HUKUM SOLAT BERJEMAAH

Solat berjemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:

·         Fardhu ain pada solat Jumaat.

·         Fardhu kifayah pada solat fardhu lima waktu ke atas orang lelaki di sesuatu tempat.


·    Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.

🎯TUNTUTAN BERJEMAAH PADA SOLAT FARDHU

Tuntutan berjemaah pada solat fardu lima waktu yang selain daripada solat fardu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sahih menurut Imam Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

🎯SYARAT SAH SOLAT BERJEMAAH

Antara syarat sah solat berjemaah adalah:

1.      Makmum wajib berniat mengikut imam.

2.      Makmum wajib mengikut imam dari segi perbuatan. Solat makmum dikira batal sekiranya mendahului atau terlambat daripada imam dalam jarak 2 rukun fi’li tanpa uzur.

3.      Imam dan makmum dalam satu solat yang sama. Tak sah solat makmum yang niat solatnya berlainan dengan imam.

4.      Makmum yang membuat Solat Musafir tidak boleh mengikut Imam yang melakukan solat yang tamam.

5.      Makmum ketahui segala perbuatan yang bakal imam lakukan.

6.      Imam berada di hadapan makmum ketika mengimami solat. Tidak sah solat Jemaah jika makmum berada di depan makmum

7.      Makmum tidak boleh mengikuti imam yang solatnya terbatal. Makmum boleh menjadi imam menggantikan imam yang telah batal solatnya.

🎯KEUTAMAAN MENJADI IMAM YANG LEBIH AFDHAL

Hadis daripada Abu Mas’ud Al-Ansari menyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda bermaksud:
“Orang yang lebih berhak menjadi imam bagi satu kaum itu adalah orang yang paling pandai membaca al-Quran. Kemudian orang yang lebih pandai tentang hadis (sunnah nabi),Kalau mereka juga sama maka pilih orang yang lebih dahulu berhijrah, Kalau sama masa hijrahnya, pilih orang yang lebih tua usianya.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain:
“…janganlah seseorang daripada kamu menjadi imam bagi orang lain di lingkungan kekuasaannya dan jangan pula ia duduk di tempat khas di rumah orang lain kecuali dengan izinnya.”

Orang yang paling pandai baca Al-Quran

Menurut Mazhab Imam As-Syafie orang yang lebih berhak menjadi imam bagi suatu kaum atau Jemaah itu adalah imam yang paling pandai membaca al_Quran. Maksud di sini orang yang pandai membaca Al-Quran itu adalah orang fasih dalam sebutan huruf dan menguasai ilmu tajwid. Berdasarkan hadis Amar bin Salamah, yang dimaksudkan dengan ‘paling pandai membaca al-Quran’ di sini ialah orang yang terbanyak hafalannya. Berdasarkan hadis ini, orang yang berhak menjadi imam mesti diberi keutamaan kepada para huffaz. Secara kesimpulannya, adalah lebih afdhal jika terdapat imam yang boleh menguasai ilmu tajwid, lancar sebutannya serta banyak hafalannya.


Orang yang paling alim

Kemudian orang yang lebih afdhal menjadi imam adalah di kalangan orang alim. Mereka yang diberikan keutamaan adalah mereka yang lebih pandai tentang hadis terutamanya dalam permasalahan fiqh ibadat. Akan tetapi menurut mazhab Imam Hanafi, orang yang lebih dalam ilmu fiqh didahulukan berbanding orang yang fasih membaca Al-Quran. Hal ini kerana, dalam solat mempunyai hal-hal yang hanya diketahui oleh orang yang sempurna ilmu pengetahuannya tentang fiqh solat. Di dalam ibadat solat ini, penguasaan mengenai ilmu solat adalah lebih diutamakan untuk mencapai kesempurnaan solat terutamanya solat berjemaah. Hal ini kerana menurut hadis, dari Sahal Bin Saad r.a, diriwayatkan bahawa dia menceritakan, Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
      “Imam mempunyai tanggungjawab. Kalau dia melakukan solat secara baik, maka dia dan para makmumnya mendapat pahala dan apabila dia melakukannya dengan salah maka dia berdosa, sementara makmumnya tidak”. [1]

Orang yang lebih dahulu berhijrah

Orang yang lebih dahulu berhijrah bukan bermaksud khusus kepada semasa penghijrahan nabi, tetapi hal ini dimaksudkan sebagai mana hadis yang bermaksud penghijrahan dari negeri kafir ke negeri Islam untuk menjalankan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Jadi di sini orang yang melakukan penghijrahan lebih lama itu adalah lebih afdhal berbanding orang yang kemudiannya berhijrah.

Orang yang lebih tua usianya

Usia yang dimaksudkan di sini adalah orang yang lebih berumur lebih afdhal menjadi imam akan tetapi menurut riwayat lain usia adalah berapa lama keislamannya. Hal ini boleh dikaitkan seperti muallaf yang memeluk islam terlebih dahulu berbanding muallaf yang memeluk islam kemudian. Kesimpulannya, orang yang lebih tua adalah lebih afdhal menjadi imam kerana keislamannya lebih lama berbanding orang muda.

Orang yang berkuasa atau pemimpin di dalam lingkungan kekuasaannya

Hanya sultan sahaja yang jika ia menziarahi ke mana sahaja kawasan jajahannya, maka dia lebih layak menjadi imam walaupun ada imam ratib di situ. Hal ini kerana, kekuasaannya adalah luas. Akan tetapi jika sultan tersebut menyerahkan tugas imam tersebut kepada orang yang dikehendakinya maka orang tersebut lebih afdhal menjadi imam di dalam situasi tersebut. Kekuasaan tidak hanya terhad dalam situasi pemimpin dengan jajahannya sahaja, tetapi juga ia melibatkan antara tuan rumah dengan tetamu dalam satu majlis dan juga imam di dalam institusi masjid.

Tugas menjadi imam bukan suatu yang mudah. Beberapa aspek yang harus dijaga dan dinilai. Untuk menjadikan solat berjemaah itu lebih sempurna diperturunkan sedikit panduan untuk para imam antaranya:
  • Jangan menjadi imam jika para makmum kurang senang terhadapnya atau tidak bersetuju kepadanya.
  • Bila menjadi imam hendaklah berikhlas kepada Allah Taala sebagai seorang menunaikan amanah.
  • Sebelum mengangkat takbiratul ihram hendaklah dia memeriksa saf-saf supaya rapat.
  • Imam hendaklah mengangkat suara ketika melafazkan takbiratul ihram dan juga apabila menyebut takbir-takbir perpindahan rukun fi’li kepada rukun lain.
Secara ringkas susunan dibawah adalah yang lebih diutamakan menjadi imam. Jika terdapat beberapa orang yang layak menjadi imam, maka orang yang mempunyai ciri-ciri berikut hendaklah diutamakan.

1.      Orang yang paling banyak hafal serta pandai baca al-quran
2.      Orang yang paling alim
3.      Orang yang terlebih dahulu berhijrah
4.      Orang yang lebih berusia
5.      Orang yang berkuasa dalam lingkungan kekuasaannya


Secara kesimpulannya, jika sesuatu masjid atau tempat itu sudah ada imam ratib, maka imam ratib itulah yang lebih layak mengimami solat solat walaupun ketika itu ada orang yang lebih alim, seperti pelajar-pelajar agama, tahfiz, ustaz-ustaz yang mengajar kelas agama atau kelas fardhu ain dan sebagainya datang ke tempat itu. Namun begitu, jika imam ratib sudah mempersilakan seseorang yang lebih utama dari dirinya menurut ciri-ciri yang telah disebutkan di atas tadi, makan bolehlah orang itu mengimami solat disitu.


🎯SYARAT MENJADI IMAM

1.      Islam : Solat yang diimamkan oleh orang kafir tidak sah.

2.      Berakal : Solat yang diimamkan oleh orang gila tidak sah.

3.      Baligh : Solat yang diimamkan oleh seseorang yang mumaiyiz (kanak-kanak) kepada seseorang yang baligh tidak sah. Ini kerana kanak-kanak yang mumaiyiz itu bukan daripada ahli yang sempurna (belum baligh) sedangkan solat itu dalam keadaan yang sempurna.

4.      Lelaki Sejati : Solat yang diimamkan oleh orang wanita atau khunsa  kepada makmum lelaki adalah tidak sah. Tetapi jika kepada makmum wanita tidak  disyaratkan seorang lelaki menjadi imam bagi jemaah tersebut.

5.      Suci Daripada Hadas : Imam yang dalam keadaan berhadas atau terdapat najis pada pakaian mahupun tubuhnya sama ada beliau sedar atau terlupa adalah tidak sah.

6.      Qari : Solat yang diimamkan oleh imam yang tidak fasih bacaan Al-Qurannya atau buta huruf tidak sah kerana diragui salah bacaan dan mengubah makna asal. Selain itu bacaan Al-Fatihah merupakan rukun dalam solat, jika salah bacaannya maka terbatal solat tersebut.



🎯SYARAT-SYARAT SAH MENGIKUT IMAM


1.      Niat Mengikut imam
o   Makmum hendaklah berniat untuk menunaikan solat mengikut imam.

"أُصَلِّي فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُومًا أَدَاءً لِلَّهِ تَعَالَى"

Maksudnya: “Sahaja aku solat fardu subuh dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala”.

2.      Makmum tidak boleh mendepani imam
o   Apabila seseorang makmum telah mendepani imam, maka kedudukannya sebagai makmum adalah batal. Rasulullah telah bersabda:

“Dijadikan imam adalah untuk diikuti”.

Imam bermaksud ikutan. Makmum sunat berdiri terbelakang sedikit        daripada imamnya dan batal solat makmum jika berlaku sebaliknya.

      Kedudukan yang diambil kira dalam menentukan hadapan dan belakang ialah bahagian tumit. Contoh ada di dalam gambar di bawah.



3.      Perbuatan mengikut imam
o   Perbuatan makmum hendaklah terkemudian daripada perbuatan imam tetapi sebelum selesai perbuatan imam tersebut.

Makruh bagi makmum terkemudian satu rukun daripada imamnya malah solatnya batal jika ketinggalan dua rukun. Contoh: Seorang makmum sedang menghabiskan bacaan surah al-fatihah sedangkan imam sudah sujud yang pertama. Tetapi jika dia ketinggalan disebabkan sesuatu yang dimaafkan seperti lambat bacaannya, dia dibolehkan terkemudian sehingga 3 rukun.

Walau bagaimanapun, jika masih tidak mampu untuk mengikut imam selanjutnya, dia hendaklah menghentikan perbuatan yang sedang dilakukannya dan teruskan mengikut imam. Kemudian dia hendaklah menyambung perbuatannya semula yang tertinggal selepas imam mengucap salam.

4.      Mengetahui segala gerak-geri perbuatan imam
o   Hal ini sama ada makmum melihat imamnya atau melihat sebahagian daripada saf atau pun mendengar suara muballigh.



5.      Imam tidak dipengaruhi oleh solat orang lain.
     o   Imam tidak menunaikan solat berimamkan orang lain




6.      Imam dengan makmum berhimpun atau berkumpul pada satu tempat.
o   Keadaan perhimpunan antara kedua-duanya adalah seperti berikut:
§  Kedua-duanya di dalam satu bangunan walaupun jarak di antara kedua-duanya sangat jauh.
§  Kedua-duanya tidak berada di dalam satu bangunan umpamanya di tengah padang maka jarak di antara kedua-duanya tidak boleh melebihi 3 ratus hasta dan jangan ada dinding yang menghalangnya di antara kedua-duanya. Sekiranya yang memisahkan di antara kedua-duanya ialah jalan raya sekalipun maka ikutan itu masih sah lagi.
§  Imam di dalam masjid (di dalam bangunan ) dan makmum di luar ataupun di belakang maka jarak di antara kedua-duanya tidak melebihi 3 ratus hasta dan tidak ada dinding yang tidak boleh dilalui yang menghalang kedua-duanya.


7.      Imam mestilah lelaki
o   Jika makmum adalah lelaki, maka wajib imamnya adalah lelaki. Tidak sah solat jika imamnya adalah perempuan.

8.      Imam mestilah mempunyai bacaan yang baik
o   Imam mestilah baik bacaannya mengikut hukum makhraj huruf, bilangan harakat dan melafazkan setiap kalimah di dalam solat dengan baik termasuk takbiratul ihram.


🎯KEADAAN YANG DIKECUALIKAN UNTUK SOLAT BERJEMAAH

Tiada keadaan yang dikecualikan untuk solat berjemaah. Pada zaman Rasulullah , telah datang seorang lelaki yang buta kepada Rasulullah meminta keringanan untuk solat di rumah. Namun ketika lelaki buta itu hendak pergi, Rasulullah memanggilnya dan bertanya kepadanya, “Adakah engkau mendengar laungan Azan?”. Lelaki itu menjawab, “Ya”. Lantas Rasulullah bersabda, “Kalau begitu, penuhilah panggilan itu (solat secara berjemaah)".
            Orang yang buta pun Rasulullah minta untuk pergi solat berjemaah di Masjid apatah lagi kita yang memiliki tubuh badan yang sihat ,sempurna penglihatan dan dapat mendengar azan setiap hari.  Kekerasan Rasullulah dalam bab solat secara berjemaah ini juga dapat dilihat di dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi  bersabda (maksudnya):


Demi tuhan yang diriku berada di tangan-Nya, sesungguhnya aku pernah hendak menyuruh para sahabat untuk mencari kayu api, lalu aku menyuruh agar bersolat jemaah. Seterusnya, aku menyuruh seseorang untuk mengimami orang ramai, sementara aku tidak ikut solat berjemaah kerana mencari rumah orang yang tidak mengikuti solat berjemaah, lalu aku bakar rumah mereka.    (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

🎯MAKMUM MUWAFIQ

Maksud Muwaffiq:
   Seorang makmum yang sempat berjemaah dengan imam semasa berdirinya imam itu, di mana dia sempat berjemaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang pertengahan di kalangan uruf orang ramai , tidak berdasarkan kepada bacaan makmum itu dan juga tidak berdasarkan kepada bacaan imam juga.

Contoh Makmum Muwaffiq:
1.      Seorang makmum yang muwaffiq sedang solat berjemaah, sebelum imam qiam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk. Maka makmum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.
2.      Seorang makmum yang muwaffiq sedang berjemaah sebelum imam duduk tasyahhud akhir makmum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.

🎯SEBAB MENJADI MAKMUM MUWAFIQ

1.      Makmum yang lambat ataupun tidak fasih membaca kerana kelemahan semula jadi.
2.      Makmum yang syak sebelum rukuk dan kemudian dari rukuk imam lalu ia teringat yang ia belum lagi membaca al-fatihah.
3.      Makmum yang lupa membaca al-fatihah hingga imam rukuk  dan sebelum ia rukuk maka teringat bahawa ia masih belum membaca surah al-fatihah.
4.      Makmum yang membaca doa iftitah dan ta'awuz lalu imam pun rukuk sedang makmum masih belum sempat menghabiskan bacaan fatihahnya.
5.      Makmum yang dengan sengaja tidak membaca surah al-fatihah sebab menanti diam imam lepas membaca al-fatihah terus rukuk.
6.       Imam membaca surah yang pendek sehingga tidak sempat makmum menghabiskan bacaan fatihahnya.

Oleh yang demikian wajib ke atas makmum menghabiskan bacaan fatihahnya dan dia dibolehkan ketinggalan dari imam hingga 3 rukuk yang panjang. Yang dimaksudkan dengan 3 rukuk itu ialah:

i)                   rukuk
ii)                 sujud yang pertama
iii)              duduk antara dua sujud

Apabila imam masuk pada rukuk yang ke 4 sedangkan makmum masih belum sempurna lagi bacaan fatihahnya maka wajib atas makmum memilih antara dua iaitu:

i)             Mengikut imam dengan ditambah satu rakaat lagi setelah imam selesai memberi salam yang pertama.
ii)           Niat mufarakah dari imam (bercerai dari mengikut imam)

🎯MAKMUM MASBUQ

·      Maksud: makmum masbuq ialah makmum yang tidak mendapat masa yang cukup bersama qiam imamnya untuk membaca al-fatihah dengan kadar bacaan pertengahan.
·      Hukum: dimaafkan meninggalkan bacaan al-fatihah kerana al-fatihah yang tidak sempat dibacanya ditanggung oleh imam. Makmum masbuk hendaklah mendapat toma’ninah(kadar bacaan “subhanallah”) bersama imam di dalam ruku’ untuk mendapat rakaat.

·      Contoh:
1)  *jika makmum tidak sempat qiam bersama imam dengan kadar bacaan al-fatihah dan meneruskan bacaan al-fatihahnya sehingga imamnya rukuk dan bangkit daripada rukuk
* maka dia tidak dapat rakaat itu, dia hendaklah mengikut perbuatan imamnya dan hendaklah dia menambahkan rakaatnya selepas selesai solat imamnya

2)    *seorang makmum masbuk datang dan bertakbiratul’ihram ketika imam ruku’
*makmum tersebut hendaklah terus rukuk tanpa sempat membaca al-fatihah
*bacaan al-fatihah tersebut ditanggung oleh imam.

·      Masalah-masalah makmum masbuk:

1.      Makmum pada mulanya muafiq, dia terlewat melakukan rukun dalam solat, sebelum dia qiam imam telah rukuk atau hampir rukuk, makmum itu dikira masbuk jika dia sempat qiam dan terus rukuk bersama imamnya, dia mendapat rakaat tersebut dimaafkan meninggalkan bacaan al-fatihah

2.      Apabila seorang imam terlalu cepat, makmum tertinggal dalam melakukan rukun solat, apabila imam qiam, imam hampir rukuk atau sudah rukuk, makmum hendaklah terus rukuk bersama imamnya tidak perlu membaca al-fatihah kerana al-fatihah tersebut ditanggung oleh imam

3.      Seorang makmum masbuk tidak sempat menghabiskan bacaan al-fatihah. Maka imam rukuk, makmum tersebut hendaklah rukuk tanpa perlu menghabiskan bacaan al-fatihah, jika mamkmum sempat tama’ninah bersama rukuk imam, maka dia mendapat rakaat tersebut. Bacaan al-fatihah tersebut ditanggung oleh imam.

4.      Seorang masbuk tidak sempat rukuk bersama imam kerana menghabiskan al-fatihah, maka dia tidak mendapat rakaat tersebut dan hendaklah dia menambahkan satu lagi rakaat selepas selesai solat imamnya

🎯6SEBAB MENJADI MAKMUM MASBUQ
1.     Makmum masbuq dikehendaki mengikut imam pada setiap perbuatan yang di lakukan  oleh imam dan dikehendaki tambah mana-mana rukun yang tertinggal umpamanya satu rakaat dapat bersama imam pada solat maghrib maka dikehendaki tambah dua rakaat lagi setelah imam memberi salam.
2.  Pada sembahyang Subuh makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
3.   Apabila makmum masbuq sedang membaca surah tiba-tiba imam rukuk maka hendaklah diputuskan bacaan surah itu dan rukuk bersama imam, tidak boleh ditangguh lagi.
4.   Jika imam dalam keadaan sujud atau duduk tahiyat , makmum masbuq hendaklah terus takbiratulihram kemudian duduk bersama imam.
5.      Jikalau imam sedang rukuk disunatkan takbir sekiranya dapat tomakninah dalam rukuk itu maka rakaatnya akan dikira.
6.  Apabila makmum sedang mengangkat takbir tiba-tiba imam beri salam maka ia ditegah duduk kerana duduk itu untuk mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyangnya itu. Tetapi jika ia terlupa atau jahil maka tidaklah batal sembahyangnya itu dan wajib ia bangun dengan segera dan sunat melakukan sujud sahwi pada akhir sembahyangnya itu.

🎯PENGERTIAN SOLAT BERJEMAAH Solat berjemaah ialah solat yang dilakukan oleh dua orang atau lebih secara bersama dengan diketuai oleh se...